Saturday, April 23, 2011

Warkah ini untuk tuan hamba, jodoh hamba di masa hadapan.

Assalamualaikum. Warkah ini hamba tulis setelah mendapat kebenaran cik Faten Muhamad. Ianya mungkin boleh diterangkan sebagai balasan kepada warkah yg dititipkannya. Bagaimanapun, ianya tidak ditulis secara umum, sebalik ditulis seperti . . . hurmmm. Seperti. . . bagaimana mahu hamba khabarkan? Ianya seperti hamba yg menjadi subjek, yakni first person point of view. Tujuan supaya hamba akan lebih memiliki ilham utk mencoretnya. Tidak pasti jika istilah ini bisa menerangkan apa yg cuba disampaikan. Ah, biarlah. Kita terus ke warkahnya.


Untuk jodoh hamba yg berada beberapa detik di masa hadapan, hamba sahaya pernah terbaca akan satu hadis Baginda S.A.W. ini. Hamba Google kan kembali utk tatapan tuan hamba : 

Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.


Setiap kali membacanya, hamba terasa kerdil. Teramat. 

Ya, jika direnungkan, tuan hamba pasti mencari sekurang-kurangnya pemuda yg punya wang. Tapi hamba tidak punya itu. Hamba masih lagi terkontang-kanting mencari rezeki di muka bumi-Nya, mengharapkan belas ihsan umi & saudara. Hamba hanyalah seorang insan yg berkelana. Pada umur ini, hamba masih lagi ingin menuntut, menambah ilmu yg kurang di dada. Cuma kudrat tubuh ini sahaja yg mampu hamba tawarkan. Moga-moga dgn kudrat ini, hamba dapat mencari rezeki lebih utk nafkah tuan hamba andai ditakdirkan tuan hambalah jodoh hamba kelak.

Jika semulia-mulia keturunan menjadi ciri-ciri tuan hamba utk memilih jodoh, maka hamba ini tiadalah terdaya utk menunaikannya. Hamba sekadar insan biasa. Keturunan hamba orang biasa. Hamba tidak berasal dari keturunan yg baik utk dibangga-banggakan. Di bahu hambalah tergalas sebuah tanggungjawab utk hamba memperelokkan keluarga hamba. Perjalanan hamba masih jauh. Doakan hamba selamat. Hamba pula akan mendoakan agar tuan hamba bertemu dgn pemuda yg baik keturunannya seperti yg diidamkan tuan hamba. InsyaAllah.

Andainya tuan hamba mengharapkan akhlak & agama, pun tidak bisa hamba kotakan. Kerana hamba bukanlah alim ulama. Hamba bukannya tahfiz. Hamba bukannya ustaz. Hendak mencegah kemungkaran pun hamba gunakan hati. Alangkah lemahnya hamba. Namun, berkat ajaran umi serta pembacaan & pengalaman hamba yg terus-menerus, hamba berdoa agar hamba dapat mengawal diri hamba dgn akal sentiasa. Agar pendirian hamba diperkukuhkan. Agar pegangan hamba dipereratkan. Agar kejelikan hamba dapat diperbaiki. Agar kekotoran hamba dapat dibasuh dari hari ke hari. Harapannya, moga-moga hamba dapat memimpin & mendidik keluarga kita pada masa hadapan. 

Diriwayatkan dalam sebuah kisah, seorang lelaki datang menemui Hasan bin Ali RA (cucu Rasulullah SAW) untuk meminta nasihat. Katanya, “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki. Dengan lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puteriku?” Hasan menjawab,

“Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, kerana jika ia menyukai isterinya ia pasti mengasihinya, tetapi jika ia tidak menyukai isterinya pasti ia tidak akan berlaku zalim terhadapnya (tetap menghormati isterinya)”.

Tuan hamba, jika kita ditakdirkan ada jodoh bersama, hamba sangat mahukan agar hubungan kita diikat pantas. Tuntas. Tiada pertunangan. Couple? Tidak sama sekali! Amin. Tuhan, teguhkanlah pendirian hamba. Pada hamba, cukuplah sekadar nikah gantung sebagai permulaan. Demi mengelakkan dosa-dosa kering serta kejian Tuhan. Perkahwinan kita nanti, biarlah sesederhana mungkin. Seboleh-bolehnya, hamba tidak mahu sebarang persandingan mahupun kenduri kahwin berkoyan-koyan. Majlis doa kesyukuran sudah memadai. Semua kemewahan itu tiada nilainya jika dibandingkan dgn ikatan pernikahan yg berkekalan sehingga syurga, mudah-mudahan. Biarlah persiapan selepas pernikahan itu pula yg dititik beratkan. Semoga tuan hamba mengerti akan niat hamba. 

Sesungguhnya, hamba pula hanya menginginkan tuan hamba supaya dapat mendidik putera & puteri kita sebagaimana umi hamba mendidik hamba. Tiada lebih. Janganlah dibiarkan mereka alpa, tewas dgn nafsu, kerana merekalah yg mendoakan kesejahteraan kita di alam seterusnya kelak. Barang apa sekalipun, perlulah dibawa ke meja perbincangan. Hamba sangat benci pergaduhan yg meretakkan.
Perancangan bersama? Sangat perlu. Hamba mahu keluarga yg dibina punya hala tuju. Rezeki yg dicari tidak lari ke sana-sini. Perbanyakkan aktiviti kerohanian, tentu sekali. Hamba tidak mahu kediaman kita ketandusan zikrullah & alunan bacaan ayat Al-Quran. Amin. Serta doakan hamba menjadi suami mithali. Hamba sangat takut jika tanggungjawab hamba gagal dilunaskan, nafkah hamba gagal berikan, kerana hamba akan disoal oleh-Nya di hari penghakiman. 

Semoga keluarga yg bakal kita bina diberkati oleh Allah yg Maha Esa. Hamba sungguh mengharapkan itu.

Sekian.

Yang ikhlas,
Bakal suamimu dari masa kini
00 : 05, 24/4/2011M, 20 Jamadilawal 1432H

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...